Thursday 30 May 2013

Merintis Bayu Perubahan Dalam Diri

         Kita sering mencari-cari identiti ketika di dalam usia peralihan dari remaja ke dewasa. Tika meniti kedewasaan, kita cuba membina identiti dan membentuk lahiriah agar berada pada tahap yang memuaskan diri, keluarga dan masyarakat. Namun, sebahagian besar daripada kita masih belum berubah. Dimana silapnya?
        Banyak faktor yang membawa kita kepada arus perubahan. Carilah faktor itu dan timbal balik samada perubahan itu merintis kita kearah kebaikan atau menghanyutkan kita kegelora kemusnahan. Dalam banyak sirah nabawiyyah dan sahabah, nabi sering membuka ruang dan peluang kepada para sahabat untuk berubah.
      Dalam sebuah kisah, Nabi didatangi seorang sahabat bernama Maiz Bin Malik lalu berkata dia "Aku berzina ya Rasulullah". Nabi mengalihkan pandangan baginda. Lalu berkata lagi Maiz "Aku berzina ya Rasulullah". Nabi yang beralih pandangan berkata "Boleh jadi kamu meraba sahaja Maiz". Maiz berkata "Aku berzina Rasulullah, takkan engkau tak tahu". Dan hukuman dijalankan kerana Maiz mahu sebegitu dan mengakui kesalahannya.
      Kisah ini sangat menyentuh kerana mengambarkan betapa luasnya pintu pengampunan untuk kita berubah di dalam Islam. Nabi mengambarkan betapa agama itu bukan sebuah wadah untuk menghukum tapi sebuah instrumen untuk mencari solusi. Islam senantiasa memberi jalan keluar dengan pengampunan. Allah swt tidak menciptakan  neraka tanpa syurga. Ini memberi gambaran betapa indahnya Islam memberi peluang kepada penganutnya.
     Berbalik kepada merintis perubahan dalam diri, soalan yang bermain dalam benak kita ialah BAGAIMANA?. Masya Allah, seluas-luas pintu dalam Islam ialah pintu keampunan. Allah swt tidak hanya mahu menghukum makhluknya tapi Allah swt juga memberi alternatif pengampunan. Beristigfarlah dan dirikan solat taubat. Nescaya jika bersungguh, Allah swt akan mengampuni semua dosa kita.
    Kita dilahirkan seputih kain yang tidak dicemar. Kain ini mungkin dicemar oleh tangan-tangan yang lain, tapi ingat dengan tangan kita sendiri, sucikanlah ia. Berbaliklah kepada Allah swt. Syaitan yang memohon untuk dipanjangkan umur hingga kiamat pun Allah swt perkenan. Ini pula kita yang bertaubat dan kembali kepada-Nya.
    Pedulikan mulut-mulut yang sekadar mencaci tanpa memberi. Pejamkan mata terhadap mehnah dan tribulasi yang datang kepada kita. Yakinlah kita berada dijalan yang benar jika diuji. Sabar dan pasrah dengan ujian. Nescaya di hujung jalan ini ialah kebahagian dan sebuah mahligai yang tidak semua orang miliki yakni ketenangan.
     Ayuh, rintis perubahan dalam diri kemudian langsungkan kepada keluarga dan masyarakat. Dalam kehidupan ini kita sering menghadapi persimpangan. Namun, disitu kita diberi pilihan untuk memilih. Pilihlah jalan yang terbaik untuk membina kreadabiliti kita sebahagai khalifah di bumi Allah swt.
     "JIKA KITA PATAH SAYAP, BERTONGKATLAH DENGAN PARUH. LAKUKAN APA SAHAJA ASALKAN KITA TETAP BERDIRI"


Mantan Exco Penerangan dan Multimedia Persatuan Mahasiswa Islam(I-Rakan) Unisel
Mohd Fitri Bin Othman
Dari Mahasiswa Untuk Semua

"Kalau bukan disini, dimana lagi?,

Kalau bukan sekarang, bila lagi?,

Kalau bukan kita, siapa lagi?"


No comments:

Post a Comment