Sunday 15 December 2013

Moga Dia Milikku

"Sesungguhnya dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah"
Nabi Muhammad SAW

Umur kian beranjak ke 20 tahun. Kedewasaan ini mendidik aku menjadi seorang lelaki yang mengenal isi dunia. Meski masih banyak yang perlu diteliti, aku kian rapuh dimamah semangat muda. Terasa begitu tua untuk semangat muda yang membuak. Di usia 17 tahun aku diangkat menjadi pemimpin sekumpulan anak kecil. Menguruskan cara hidup 120 remaja 13-18 tahun yang gila dalam mengenal hidup. Ponteng solat, lari sekolah, mengelat mengulang kaji pelajaran dan pelbagai tabiat sewel dihadapi setiap hari. Penampar sudah, penerajang sudah dan hanya menanti sahaja surat merah. Itu kehidupan sekolahku menjadi ketua asrama. Mendidik aku mengurus manusia sejuta perangai. 

Melangkah ke alam universiti, tidak lama merasa manisnya muda mudi berpacaran dan membuang waktu berpeleseran. Aku dilantik di usia muda dengan jawatan Penerangan Dan Multimedia. Satu jawatan cukup berat untuk dipikul. Puas menidak dan meraih simpati. AKU MAHU HIDUP SEPERTI REMAJA LAIN. namun ada ibrah di sebalik taklifan ini. Mendidik aku mengenal dunia orang-orang bebas berfikir dan bergerak. Oh, mereka ini hidup tanpa tali pengikat. Tiada panduan dan manual dari tuhan. Aku diajar mengenal erti hidup sebenar beragama dan bertuhan. Segala puji bagi Allah.

Kini umur melonjak 20 an. Aku terasa kosong. Mereka kata carilah tuhan untuk mengisi kekosongan itu. Aku mencuba dan tenang seketika. Tapi naluri kemanusiaan yang meronta mahukan sesuatu yang fitrah. Mungkin telah tiba masanya aku mencari makmumku. Ah, ayat skema yang boleh dibilang islamis yang menidakkan naluri. Itu kata-kata sang sosialis. Tapi naluri manusia dijinakkan dengan pegangan agama. itu realiti. 

Mungkin kerana makin ramai junior dan rakan seusia telah mendirikan rumah tangga. Aku tidak hairan atau iri hati melihat orang berpacaran dan berpeleseran bersama. Aku cuma iri hati pada yang telah mendirikan rumah tangga. Aku ingin mencari seseorang yang mampu mengiringi ibadahku. Menemani sepertiga malam. Mengingatkan aku bahawa Tuhan itu ada. Melonjakkan potensi satu sama lain. Ini bukan retorik. Sekurangnya berharap tidak. 

SEMOGA ALLAH MENJODOHKAN AKU DENGAN INSAN YANG TERBAIK UNTUKKU. Insya Allah

No comments:

Post a Comment